Timbalan Menteri Kebudayaan, Piotr Zuchowski berkata, keyakinan mereka itu bersandarkan imbasan radar yang dilakukan ke atas terowong berkenaan.
“Kami yakin 99 peratus ia adalah kereta api Nazi yang membawa ketulan emas itu,” ujarnya kepada para pemberita.
Kereta api tersebut disembunyikan di dalam terowong rahsia itu pada penghujung Perang Dunia Kedua di ambang kejatuhan Kerajaan Nazi Hitler.
Menurut Zuchowski lagi, imej yang diperolehi daripada imbasan radar itu menunjukkan sebuah kereta api yang dilengkapi dengan serombong senjata berat.
Legenda tempatan sejak sekian lama mengesyaki kereta api Nazi itu dipenuhi dengan ketulan emas, batu permata dan senjata telah disembunyikan di dalam sebuah terowong rahsia pada 1945.
Zuchowski menyifatkan penemuan itu sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kedudukan tepat di mana terowong rahsia itu terletak.
Kata Zuchowski, maklumat mengenai terowong rahsia itu diperolehi daripada pengakuan seorang yang turut terlibat di dalam misi menyembunyi dan menutup pintu terowong berkenaan.
Awal bulan ini, seorang lelaki Poland dan Jerman memberitahu pihak berkuasa tempatan di sini yang mereka mengetahui di mana terletaknya lokasi kereta api yang disembunyikan itu.
Menerusi peguam, mereka berkata sanggup memberitahu lokasi berkenaan dengan syarat diberikan 10 peratus daripada apa yang ditemui nanti.
Dalam pada itu BBC melaporkan rekod menunjukkan antara 1943 hingga 1945, pihak Nazi telah mengerah tahanan perang untuk menggali terowong sepanjang 9km di sini.
Sebahagian daripada terowong yang ditemui itu telah menjadi pusat tarikan pelancong.
Timbalan Datuk Bandar Walbrzych, Zygmunt Nowaczyk memberitahu para pemberita Rabu lalu, bahawa lokasi terletaknya kereta api misteri itu dan identiti dua warga tua yang mendedahkannya masih dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
“Lokasinya adalah di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan Walbrzych,” kata Nowaczyk.
Menurut legenda, emas-emas itu diperolehi dari daerah Wroclaw, Poland dan disembunyikan untuk mengelak ia jatuh ke tangan tentera merah Soviet yang sedang mara ke bandar ini pada tahun 1945.
Kerajaan Poland sebelum ini memberi amaran kepada warganya supaya tidak mencari harta karun itu kerana dikhuatiri ia dipenuhi dengan jerangkap samar yang dipasang oleh tentera Nazi sebelum menutup pintu terowong berkenaan sepenuhnya. – mStar Online
0 Response to "Poland Percaya Temui Kereta Api Nazi Dgn Emas"
Post a Comment