BUKAN sahaja haiwan ‘glamor’ seperti singa dan gorila sahaja yang diancam kepupusan, malah Persatuan Perlindungan Haiwan Hodoh juga menyeru agar spesis kurang popular ini turut mendapat perhatian dunia sebelum mereka lenyap daripada kewujudan selama-lamanya. Jom kita kenali mereka:
1. Aye-aye (Daubentonia madagascariensis)
Dengan mata terbeliak, bulu kusut masai dan jemari yang tirus dan panjang, haiwan yang berasal daripada susur galur kongkang ini memang cukup hodoh. Satu-satunya spesis monyet yang terdapat di Madagascar, aye-aye gemar melekapkan diri pada batang pokok sebelum menggigitnya bagi mendapatkan ulat kayu yang menjadi makanan ruji haiwan ini. Kemusnahan berterusan yang dilakukan terhadap habitatnya mengakibatkan aye-aye semakin diancam kepupusan.
2. Babi Berbintat Visaya (Sus cebifrons)
Hanya terdapat di kepulauan Filipina, babi berbintat Visaya ini digelar sebegitu akibat kutil-kutil seperti kudis yang tumbuh disekeliling wajahnya. Namun, meskipun rupanya menggelikan sesiapa yang melihat, haiwan ini tetap dilindungi oleh kerana bilangannya telah menurun secara kritikal sebanyak 80 peratus hanya dalam tempoh tiga generasi sahaja.
3. Tikus Mondok Telanjang (Heterocephalus glaber)
Betullah kata pepatah, usah nilai buku pada muka depannya. Meskipun telanjang bulat, spesis tikus mondok ini mempunyai kelasnya yang tersendiri dalam dunia zoologi: ianya merupakan salah satu daripada dua spesis mamalia yang dikategorikan sebagai ‘eusosial‘ di mana hanya ‘permaisuri’ sahaja yang ditugaskan untuk membiak manakala tikus-tikus lain bekerja untuk menggali lubang dan mendapatkan bekalan makanan bagi ahli koloninya.
Tikus mondok telanjang ini juga kebal daripada jangkitan kanser. Pada tahun 2014, penyelidik telah mengesahkan kulitnya berpotensi dijadikan ubat anti-kanser.
4. Humphead Wrasse (Cheilinus undulatus)
Ikan humphead wrasse merupakan spesis pemakan mangsa yang hidup di terumbu karang lautan Indo-Pasifik. Saiz fizikalnya yang agak besar iaitu kira-kira 2 meter panjang dan dahi berbonjol menjadikan haiwan ini kelihatan agak ‘gangster’ berbanding ikan-ikan lain. Bagi menambahkan elemen gangsternya, ikan humphead gemar memakan haiwan-haiwan bertoksik seperti lintah laut dan tapak sulaiman berduri.
5. Kodok Gergasi Tasik Titicaca (Telmatobius culeus)
Spesis kodok yang terdapat di Tasik Titicaca, Amerika Selatan ini mempunyai kulit berlapis-lapis yang membolehkan ia serap lebih banyak oksigen daripada udara sekeliling. Oleh sebab kulit yang melendut dan berlapis itu, kodok ini juga kadangkala dikenali sebagai kodok kerandut Titicaca. Kodok Tasik Titicaca ini diancam kepupusan tahap kritikal akibat terlalu banyak ditangkap untuk dijadikan makanan oleh manusia di samping pencerobohan habitat mereka.
6. Monyet Proboscis (Nasalis larvatus)
Monyet proboscis atau bekantan ini sememangnya unik kerana mempunyai hidung yang besar dan panjang seakan-akan belalai. Hidung bekantan jantan lazimnya lebih besar berbanding betina. Oleh itu, saiz hidung menjadi ‘aset’ untuk memikat bekantan betina. Bekantan merupakan satu-satunya spesis monyet yang mengunyah rumput kering bagi membantu sistem penghadamannya yang rumit. Oleh kerana habitatnya diceroboh dan dimusnahkan manusia tamak, akibatnya bekantan juga terdedah kepada ancaman kepupusan.
7. Belut Hagfish Pasifik (Eptatretus stoutii)
Hagfish merupakan salah satu haiwan bertulang belakang purba yang masih wujud hingga ke hari ini. Santapan kegemarannya adalah bangkai hidupan marin yang hanyut ke lantai laut. Badannya yang tirus mampu menghasilkan lendiran yang berfungsi untuk mencekik mangsa dan melindungi dirinya daripada pemangsa.
8. Katak Pig-Nose Ungu (Nasikabatrachus sahyadrensis)
Kata berwarna ungu yang hidup di belantara India ini lebih selesa menghabiskan masanya di bawah tanah sepanjang tahun, dan hanya keluar menerjah dunia luar selama dua minggu pertama musim tengkujuh untu membiak di lopak-lopak sementara yang terbentuk akibat hujan lebat. Oleh kerana gaya hidupnya yang gemar memencil, spesis katak ini hanya ditemui pada tahun 2003.
0 Response to "Katak Hidung Babi Dan 7 Lagi Haiwan Hodoh Diancam Pupus!"
Post a Comment