Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan perasaan cinta mereka terhadap pasangan masing-masing.\
Dan begitu juga, setiap lelaki akan berusaha sedaya upaya untuk melamar wanita pujaan hati mereka.
Berikut ini 5 kisah lelaki melamar wanita yang terunik di dunia.
1) Lamar dengan buah laici
Di Xi’an, China, seorang lelaki menggunakan buah laici untuk membentuk kekata ‘love’ dan dua gambar hati di tempat pejalan kaki.
Malah, Dong, 24 tahun, sanggup menghabiskan RMB 2,000 (S$445) untuk membeli buah-buah laici itu – ketika itu, ia bukan musim laici.
Tujuannya – untuk melamar teman wanitanya, 23 tahun, yang gemar makan laici. Mereka sudah berpacaran selama tiga tahun. Gelagat lelaki itu bahkan menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang.
Menurut Dong, beliau sudah agak lama merancang hal itu, dan mahu menjadikan lamarannya itu satu kejutan. Ketika ditemui para wartawan, Dong berkata beliau amat teruja dan yakin teman wanitanya akan menerima lamarannya.
Sebaik sahaja teman wanitanya itu tiba, Dong sambil berlutut, berkata: “Sayang, aku tidak mempunyai rumah, kereta, ataupun wang yang banyak, tetapi cintaku buatmu, cinta sejati. Aku boleh memberikan kamu kebahagiaan. Sudikah kamu berkahwin denganku?”
Malangnya, wanita itu hanya tergamam, sebelum memakan sebiji buah laici tersebut dan meninggalkan tempat itu.
Dong dengan sedih berkata, teman wanitanya itu memberi alasan mereka terlalu muda untuk berkahwin.
2) Kumpul syiling selama 20 tahun untuk beli cincin
Di Fuyang, China, seorang lelaki berusia 30 tahun menggunakan duit syiling bernilai 12,000 yuan (S$2,666) untuk membeli cincin berlian demi melamar teman wanitanya.
Rupa-rupanya, Liang Liang, yang sudah mengenali wanita itu selama 20 tahun, berjanji untuk melamarnya semasa mereka kanak-kanak lagi. Sejak itulah, Liang gigih menabung hingga wang syiling seberat 150 kilogram berjaya dikumpulkannya.
Beliau menggunakan basikal roda tiga untuk mengangkut wang syiling itu ke kedai barang kemas berkenaan.
Kakitangan di kedai tersebut menghabiskan masa setengah hari untuk mengira kesemua duit syiling itu. Namun, mereka begitu tersentuh sehingga pengurus kedai mempamerkan duit syiling tersebut di kedainya sebagai “bukti cinta sejati.”
Liang pun segera melamar gadis itu. “Masih ingat janjiku 20 tahun lalu untuk berkahwin dengan kamu? Sekarang aku sudah memperoleh cukup wang untuk membelikan kamu cincin, sudikah kamu berkahwin denganku?”
Wanita itu, sambil menangis, menerima lamarannya itu.
3) Lamar wanita dengan 99 iPhone 6S
China meraikan hari yang cukup unik, iaitu Hari Bujang. Dan di hari yang dirayakan setiap 11 November itu, seorang pemuda dari Guangzhou melakukan tindakan gila untuk mengakhiri zaman bujangnya.
Beliau melamar teman wanitanya dengan menyerahkan 99 buah iPhone 6S yang disusun dalam bentuk hati di luar tempat kerja mereka berdua. Lelaki itu menghabiskan gaji selama dua tahun atau kira-kira S$108,222 untuk membeli telefon-telefon bimbit iPhone 6S itu.
Namun malangnya, teman wanitanya menolak lamarannya di depan khalayak ramai.
4) Lamar dengan gambar GPS terbesar di dunia
Pada 2008, seorang lelaki warga Jepun, Yasushi Takahashi, atau dikenali sebagai Yassan, memutuskan untuk berhenti bekerja buat sementara waktu dan membuat perjalanan ke seluruh negara itu.
Beliau membawa alat GPS bersamanya untuk mendokumentasikan perjalanannya. Perjalanan Yassan merangkumi lebih 7,000 kilometer dalam masa enam bulan – kebanyakannya dengan berjalan kaki, dan juga dengan menaiki kereta, feri atau basikal.
Teknologi GPS itu menjejaki setiap perjalanannya dari pulau Hokkaido hingga berakhir di Tebing Hyodo di pulau Kyushu.
Di akhir perjalanannya, rekod GPS sepanjang perjalanannya itu membentuk kekata ‘Marry Me’, serta bentuk hati dan panah. Setiap lokasi yang dikunjungi Yassan, dipilih secara teliti, agar rekod GPSnya mengeja kekata itu.
Meskipun lamarannya itu mengambil masa enam bulan, teman wanitanya bersetuju untuk mengahwininya. Ia merupakan lamaran perkahwinan yang terbesar di dunia, dan juga tercatat dalam Rekod Dunia Guinness sebagai lukisan GPS terbesar di dunia, yang merangkumi 7,164 kilometer.
5) Lamar teman wanita setiap hari
Dean Smith, lelaki warga Amerika Syarikat, memberi kejutan semasa merayakan ulang tahun teman wanitanya, Jennifer Kessel.
Dean melamar Jennifer dengan sebuah video, yang menunjukkan Dean melamar wanita itu tiap-tiap hari, selama 365 hari, sepanjang tahun lalu. Video itu ditunjukkan kepada Jennifer di sebuah pantai di Aruba.
Dalam video itu, Dean menulis lamarannya di sekeping kertas putih setiap hari, dengan kekata seperti “Mahukah kau menjadi isteriku, Jennifer?” dan “Mahukah kau berkahwin denganku, Jennifer?”, semasa melakukan kegiatan harian seperti bangun pagi, sarapan, perjalanan pergi ke kerja dan lain lagi.
Pada penutup videonya itu, Dean berkata: “Hari ini adalah hari ketika aku memutuskan ingin menjadi pendamping hidupmu.”
Dean kemudian berlutut di atas pasir pantai sambil membawa kertas putih dan melamarnya sekali lagi. Jennifer menerima lamarannya itu.
Dean berkata beliau ingin melamar Jennifer dengan menunjukkan betapa beliau sangat mencintainya sehingga memikirkan tentang beliau setiap hari.
Artikel diatas dipetik dari: Mediacorp.sg
0 Response to "5 Gaya Lamaran Paling Unik Di Dunia (Gambar)"
Post a Comment